Mungkin sudah hampir seminggu, hujan tidak juga mahu berhenti. Bukan di sini sahaja, malah di seluruh tempat di dalam negara subur dan makmur ini. Tidak terkecuali di kesemua negara-negara seantore ini.
Air tak berhenti-henti mencurah. Menghempap atap merah, daun pisang, jalan tar dan apa sahaja yang tidak terlindung oleh sesuatu yang menutup. Apa sahaja yang dihempap pasti menghasilkan pelbagai jenis irama musik dengan nada yang seragam dan berulang-ulang. Hari basah sememangnya hari yang bising. Lebih bising daripada jalan raya yang sesak.
Tanpa hangatnya Sang Suriani, semuanya nampak kelam dan berbau asam. Semua yang basah terutamanya pakaian yang perlu dibasuh sehari-hari menjadi masam. Tuala juga bertukar hapak selang 2,3 hari sahaja. Bantal juga menjadi bertambah tambah kusam warnanya.Kalau tidak dipakaikan sarung yang baru, pasti bantal2 semuanya tidak diguna menjadi alas kepala pada hari-hari busuk seperti sekarang. Tidak menyelerakan mata, hidung dan tentunya tekak.
* * * * * * * * * * * * *
Dibeberapa tempat telah dilaporkan air sudah menenggelamkan tempat tinggal mereka.
Kalau dahulu, keluarga kami juga jadi gusar dan tidak senang duduk bila hujan tidak juga mahu berhenti.
Bila air Sungai Isap melimpah, longkang besar didepan rumah pertama sekali senak dengan air berwarna lumpur. Bila hujan masih juga terus turun, longkang akhirnya memuntahkan segala yang terlebih ke kawasan laman dan seterusnya ke dalam rumah. Memenuhi setiap penjuru lantai yang rendah.
* * * * * * * * * * * * * *
Waktu semasa itu. Saya masih lagi bergelar seorang pelajar tanpa ijazah.
Mungkin tidak naif sepenuhnya, tapi lebih dungu daripada sekarang.
Atau sama sahaja dungunya seperti sekarang.
Oh, hujan!
Sememangnya ini musimnya kau menjadi degil dan terus terusan membasahkan dan menenggelamkan
daerah ini.
* * * * * * * * * * * * * *
Kalaulah aku boleh meminjam Sang Suriani pada waktu ini untuk disimpan didalam kamar kecilku.
Agar aku tidak terus hanyut bersama-sama air bah yang menelan kawasan2 rendah.